Counter

Pembilang

4/03/2008

Angkasawan negara akan tukar minda rakyat Malaysia supaya bersikap terbuka untuk mencapai kejayaan

Angkasawan negara akan tukar minda rakyat Malaysia supaya bersikap terbuka untuk mencapai kejayaan

PENGHANTARAN angkasawan Malaysia ke angkasa lepas bukan saja memenuhi impian saya sejak kecil tetapi merangkumi setiap lapisan masyarakat. Ini dapat saya rasakan apabila memberi ceramah motivasi pada peringkat sekolah dan universiti seluruh Malaysia.

Ramai kanak-kanak yang masih berumur 5 tahun ingin menjadi angkasawan. Ramai pelajar yang mengatakan mereka begitu berminat dalam bidang sains dan matematik. Inilah misi sebenar Program Angkasawan Negara.

Seperti Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasa lepas pada 1961 yang berjaya membakar semangat seluruh penduduk Russia. Ramai anak mereka juga dinamakan Yuri Gagarin. Begitu juga Neil Amstrong, manusia pertama menjejak kaki ke bulan yang menyuntik inspirasi setiap rakyat Amerika.

Inilah yang ingin disematkan pada setiap sanubari rakyat Malaysia. Untuk menukar minda rakyat Malaysia lebih-lebih lagi kanak-kanak supaya bersikap positif dan terbuka untuk mencapai kejayaan gemilang demi kepentingan negara. Hasilnya akan dapat dirasai pada 5 hingga 10 tahun akan datang.

Semua pihak harus memainkan peranan agar matlamat ini tercapai lebih-lebih lagi Kementerian Pelajaran serta Kementerian Belia dan Sukan agar dapat meneruskan cabaran mencapai sasaran ke setiap lapisan masyarakat.

Setakat ini, saya sudah menjelajahi setiap negeri di Malaysia kecuali Negeri Sembilan (kampung halaman), Melaka, Perak dan Sarawak walaupun bukan secara menyeluruh dan saya dapat merasakan kesan yang begitu mendalam di setiap tempat yang saya hadiri. Suasana yang sungguh luar biasa.

Saya berjanji akan meneruskan usaha untuk menghadiri semua sekolah dan universiti di negara ini pada masa akan datang untuk berkongsi pengalaman mengenai penjelajahan ke angkasa lepas.

Ramai yang bertanyakan mengenai buku yang akan dihasilkan mengenai penjelajahan ke angkasa. Seperti yang diketahui, apabila saya kembali ke Malaysia, arwah adik menghasilkan sebuah buku mengenai saya sehingga terpilih menjadi angkasawan negara untuk dijadikan hadiah, namun hasrat Allahyarham untuk menerbitkannya tidak kesampaian.

Saya begitu sayu apabila melihat bilik arwah dipenuhi dengan gambar saya sebagai angkasawan negara. Begitu hiba hati ini apabila membaca helaian demi helaian coretan beliau. Saya bersyukur kerana telah menerbitkan buku berkenaan di pasaran untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.

Semoga ia menjadi inspirasi kepada anak muda untuk lebih berjaya. Kejayaan saya sebagai angkasawan sudah pasti membabitkan arwah adik yang sering memberikan dorongan dan galakan untuk berjaya dan saya berjanji untuk menjaga kepentingan kedua-dua anak arwah, Sheikh Aiman, 3, dan Balkish, setahun, demi masa depan mereka. Sebab itu, saya terbitkan buku ini sebagai tabung untuk masa depan mereka.

Minggu ini, saya akan ke Sibu dari 21 hingga 24 Mac dan ke Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 28 Mac untuk berkongsi pengalaman. Dan Insya-Allah saya akan menjelajahi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM lebih-lebih lagi MRSM Muar untuk membalas jasa guru di maktab itu yang membimbing dan mendidik saya sehingga menjadi angkasawan negara.

Tidak lupa pula Sekolah St Paul, Seremban yang membawa pelbagai kenangan manis dan sekolah di Negeri Sembilan sebagai membalas jasa Negeri Sembilan.

Pendaratan cemas pengalaman menyeronokkan

Soalan
Boleh jelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'ballistic reentry' dan kenapa terjadi begitu?

Anuar Hamzah, Kuala Terengganu

Jawapan
Ini adalah kali ketiga dalam sejarah Russia kapal soyuz mengalami pendaratan kecemasan ballistic reentry. Kali pertama kapal soyuz tersasar ke dalam lautan dan kedua ke hutan Siberia Untuk TMA-10 kami terbabas sejauh 350 kilometer dari sasaran tetapi masih mendarat di kawasan Kazakhstan.

Ballistic reentry berlaku apabila kapal Soyuz terpaksa melakukan pendaratan kecemasan mengikut trajektori yang lebih pendek dan curam.

Bagi saya ia adalah pengalaman yang menyeronokkan di mana ketika memasuki atmosfera, kami berpusing-pusing dan terhumban dalam kapal Soyuz selama 3-4 minit.

Kami melalui daya tekanan 9G yang bermaksud 9 kali berat badan menghempap dada anda dan amat sukar bernafas. Tetapi kami telah dilatih untuk bernafas menggunakan abdomen. Segala-galanya berlaku dengan pantas.

Tumpuan dan fokus saya ketika itu adalah lebih kepada bahan eksperimen. Selepas tiga bulan mendarat, pihak Russia menjalankan post mortem dan mendapati punca pendaratan kecemasan adalah disebabkan masalah teknikal berikutan kerosakan kabel.

Saya bersyukur kerana misi penjelajahan ke angkasa mencapai objektifnya dan selamat kembali ke bumi.

0 Komen: